beware

Sunday, 21 April 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA



Pendekatan Struktural
·        Merupakan satu pendekatan yang paling klasik.
·        Kelemahannya, corak pengajaran yang terlalu memberatkan aspek struktural sehingga boleh menimbulkan kebosanan.
·        Berkesan dalam proses p&p namun, ia mengabaikan aspek teks yang indah dan tersirat (Chua, 1997).
·        Amalan pendekatan yang terlalu sempit menyebabkan KOMSAS akan lebih berorientasikan peperiksaan.
·        Pelajar hanya belajar sekadar untuk lulus peperiksaan.
Pendekatan Berfokus
·        Diperkembangkan oleh Unit Bahasa Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1984.
·        Pendekatan ini memberikan tumpuan terhadap satu struktur tertentu dalam karya.
·        Pendekatan ini dapat menjimatkan masa guru dan pelajar kerana mereka tidak perlu membincangkan semua aspek dalam semua karya.
Pendekatan Mengalami & Menghayati
·        Guru bukan lagi pemberi makna yang mutlak tetapi perlu berfungsi sebagai fasilitator yang memandu interaksi pelajar dengan bahan sastera.
·        Pendekatan yang diasaskan oleh satu teori yang amat mementingkan pengetahuan latar atau skema sebagai dasar dalam proses pembelajaran.
·        Pelajar diajar untuk mengaitkan pengalaman, budaya hidup, persekitaran dan pengetahuan sedia ada.
·        Pendekatan ini merupakan pendekatan yang mengutamakan pengalaman pelajar yang dibawa ke bilik darjah dan bagaimana pengalaman sedia ada dapat membantu pelajar memahami karya sastera.


Saturday, 13 April 2013

TUGASAN BERPASANGAN 1


Books 


BMK 3033
KETERAMPILAN MEMBACA

TUGASAN BERPASANGAN
Tajuk: Teknik Mengajar Kefahaman Membaca dan Berfikir Secara Kritikal:
Preview Teks
Prosedur ReQuest


Nama Pensyarah: Dr Dahlia Janan
Kumpulan: A

Nama
No matrik
NurulHana Binti Denis Eson
D20091035640
Nur Athirah Binti Mohd Zain
D20091035661


PENGENALAN
‘Membaca jambatan ilmu’ merupakan istilah yang sangat sinonim dengan kepentingan membaca kerana aktiviti membaca sememangnya memberi banyak manfaat kepada pengetahuan individu. Aktiviti membaca bukan sahaja sebagai proses penting dalam menyumbang kepada pengetahuan sedia ada malahan boleh bertindak sebagai panduan kepada individu dalam merencanakan sesuatu perkara dengan lebih sempurna. Kebiasaannya, amalan membaca ini telah dipupuk semenjak memasuki tahun awal persekolahan kanak-kanak lagi. Dalam konteks sekolah, proses membaca itu merupakan agen penting agar kanak-kanak ini akan mula mengenal huruf, membentuk perkataan sehinggalah kepada proses membentuk ayat. Aktiviti membaca ini diibaratkan tiada titik noktah kerana jika dilihat kepada manfaat membaca ini sendiri, aktiviti membaca ini bukan lagi bersifat kemahuan tetapi telahpun bersifat keperluan. Oleh sebab itu, pepatah ada menyebut ilmu itu pelita hidup.
 Pembacaan seseorang boleh wujud dalam pelbagai cara dan saliran misalnya membaca buku ketika menunggu bas, menelaah seketika majalah-majalah yang ada semasa berada di kedai buku ataupun membaca surat khabar dengan secangkir kopi dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, bahan bacaan khasnya berbentuk akademik masih kurang diberikan perhatian dalam golongan masyarakat Malaysia (Yahya, 2008). Tambahan pula, membaca ini seolah-olah hanya diperlukan oleh ahli akademik semata-mata sedangkan membaca adalah suatu proses yang berterusan yang tidak mengira pangkal usia. Sebaliknya, ada juga sesetengah individu yang suka membaca tetapi tidak mampu menguasai semaksima mungkin kandungan buku tersebut dan lebih merumitkan keadaan apabila wujud juga golongan pembaca yang tidak faham sama sekali hasil daripada pembacaan beliau.  Justeru itu, permasalahan yang wujud ini memerlukan teknik-teknik yang dapat membantu para pembaca ke arah proses membaca yang lebih baik selain dapat meningkatkan kefahaman menerusi pembacaan tersebut.
  

1.0              Teknik Mengajar Kefahaman Membaca Dan Berfikir Secara Kritikal.
Terdapat pelbagai teknik yang dikenal pasti dapat membantu meningkatkan kefahaman membaca misalnya menerusi teknik Preview Teks dan Prosedur Request. Kedua-dua teknik ini boleh diaplikasikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung. Tambahan pula, teknik yang diguna-pakai ini mempunyai kelebihannya tersendiri yang memberi manfaat kepada diri pembaca selain dapat membantu pembaca berfikir secara kritikal.

2.1.      Preview Teks
            2.1.1    Maksud
Teknik preview teks dirangka khas untuk membantu para pelajar membina pengetahuan latar berkenaan sesuatu topik sebelum memulakan proses membaca. Semasa proses membaca itu berlaku, pembaca akan berupaya menghubungkan perkara yang terdapat dalam pengalaman latarnya dengan bahan yang akan dibaca olehnya (Tierney, 2000). Justeru itu, semakin banyak pengalaman latar yang dimiliki oleh diri pembaca maka semakin luas makna yang akan diperolehi daripada bahan yang dibaca.
Selain itu, Preview Teks membantu pelajar dalam mempelajari bahan yang lebih baik kerana pelajar akan menetapkan tujuan untuk membaca selain turut memberi tumpuan kepada maklumat dan paling penting adalah apabila mereka akan menghubungkan maklumat dalam teks dengan perkara yang telah sedia diketahui (Graves, 2003). Yahya (2008) turut menyatakan hal yang sama iaitu pembaca yang mengetahui maklumat yang ada kaitan dengan teks yang dibaca akan menjadikan pembacaan lebih lancar dan memberi kesan terhadap pemahamannya. Lantaran itu, interaksi baik antara pembaca dan penulis dapat meningkatkan kefahaman pembaca selain dapat menambah pengalaman membaca.

2.1.2    Mengapa Ia Dilaksanakan Dalam Sesuatu P&P Bacaan?
Di negara barat khususnya, penggunaan teknik ini akan didedahkan kepada pelajar semasa P&P berlangsung. Penggunaan teknik ini adalah sama seperti panduan jangkaan yang bermaksud pemahaman pembaca dapat ditingkatkan apabila pembaca mengaitkan pengetahuan latar dengan bahan bacaan dan seterusnya mereka ini  akan  berminat dengan topik yang dibaca. Hal ini telah dinyatakan oleh Yahya (2003) bahawa bahan cerita daripada pengalaman individu boleh digunakan dalam mengajar kemahiran pemahaman.
Hal ini bermakna, apabila P&P yang berlangsung dengan mengaitkan pengalaman dalam diri pembaca, maka pembaca akan lebih mudah memahami topik yang dibaca. Lantaran itu, teknik ini merupakan pendekatan baik yang berkeupayaan memberikan maklumat kepada pembaca supaya mereka akan membuat pemilihan bacaan dan pada masa yang sama mereka mempunyai rangka kerja untuk memahami watak-watak dan peristiwa dengan lebih jelas. Sebagai hasilnya, teknik ini dapat memupuk minat pelajar untuk membaca seterusnya menggalakkan kelancaran proses P&P. Justeru itu, hasil penyelidikan telah membuktikan keberkesanan penggunaan teknik ini terutamanya kepada golongan pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan.



 



3)
2.1.3    Kelebihan Teknik Preview Teks
Penggunaan teknik Preview Teks mendatangkan beberapa kelebihan kepada diri pelajar. Menerusi penggunaan teknik tersebut, pelajar akan lebih bermotivasi untuk membaca sesuatu bahan bacaan (Ryder, 2003). Pengetahuan dan pengalaman sedia ada dalam diri pelajar ini telah membantu pelajar untuk melalui proses membaca dengan mudah. Pada masa yang sama, pelajar juga berkeupayaan memahami keseluruhan teks seterusnya mempunyai cara pemikiran dan pendapat sendiri dalam memahami isi kandungan teks yang cuba disampaikan oleh pengarang. Tambahan pula, dengan bimbingan daripada guru maka para pelajar dapat melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan.
            Selain itu, pelajar juga memupuk minat membaca dalam diri mereka. Graves (2003) berpendapat teknik ini bukan sahaja membantu para pelajar memahami teks semata-mata malahan dapat memperbaiki sikap mereka tentang bacaan teks. Penggunaan teknik yang memudahkan pelajar ini akan memberikan peluang kepada pelajar untuk membaca sesuatu teks dengan lebih mendalam yang seterusnya membantu meningkatkan pengetahuan mereka tentang bahan bacaan berkenaan. Akhirnya, mereka akan lebih berkomitmen tinggi dan menjadikan bahan bacaan tadi sebagai bahan yang bernilai atau memanfaatkan dirinya pada masa akan datang.

2.1.4    Kelemahan
Walau bagaimanapun, penggunaan teknik ini mempunyai beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti. Pertamanya, keupayaan pelajar adalah berbeza-beza maka secara tidak langsung diri pelajar turut mempunyai tahap pembacaan yang berbeza-beza. Teknik ini digunakan bagi peringkat tinggi kerana golongan ini lebih matang dan cekap dalam melalui proses pembacaan dan mereka lebih mudah memahami kandungan teks. Sebaliknya, bagi segelintir kanak-kanak misalnya, mereka masih meniti pengalaman daripada persekitaran mereka dan melalui proses pembelajaran.
            Selain itu, setiap individu mempunyai kesediaan membaca yang berlainan dan ini bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan sedia ada dalam diri individu. Teknik ini memerlukan pembaca mempunyai latar pengetahuan terlebih dahulu kerana ia akan dikaitkan bahan bacaan yang bakal dibaca. Oleh sebab itu, perkara tersebut akan mendatangkan masalah kepada pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan latar atau pengalaman sedia ada kerana golongan ini dijangkakan tidak memahami keseluruhan teks yang dibaca. Justeru kelemahan ini dikhuatiri menjadikan perlaksanaannya dalam sesi P&P menjadi rumit.

2.2       Teknik Prosedur Request

2.2.1    Maksud
Teknik mengajar kefahaman membaca dan berfikir secara kritikal turut melibatkan Prosedur Request. Tierney (2000) menjelaskan Prosedur Request ialah persoalan yang dibina bagi meningkatkan kefahaman membaca dan membantu pembaca berfikir secara kritis. Beliau turut menyatakan pembaca boleh mengeluarkan persoalan tentang bahan yang dibaca supaya lebih memahami sesuatu kandungan bahan bacaan dengan berdasarkan  teknik 5W1H. Dalam proses P&P, teknik ini diterapkan melalui sesi soal jawab yang dikemukakan oleh pelajar kepada guru serta guru mengemukakan soalan kepada pelajar (Barr et al, 2002). Soalan yang berunsurkan KBKK boleh diterapkan oleh guru dalam P&P untuk meningkatkan kefahaman dan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis.

2.2.2    Mengapakah Diterapkan Dalam P&P

Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai diterapkan dalam sistem P&P di sekolah. Salah satu sebab yang membolehkan teknik ini diterapkan dalam proses P&P ialah menggalakkan pelajar merumuskan soalan-soalan. Keadaan ini berlaku kerana teknik ini membenarkan pelajar membaca bahan yang disediakan oleh guru. Kemudian mereka diberikan masa untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami oleh para pelajar. Melalui soalan yang dikemukakan oleh guru ini dapat melihat potensi pelajar dalam membina soalan untuk ditanya kepada guru mengenai artikel yang diperolehi.
            Selain itu, teknik ini perlu diterapkan dalam proses P&P kerana pelajar akan mendapat faedah daripada hasil bacaan. Rebecca (2006) menyatakan persoalan dapat membantu pembaca menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada tentang suatu topik. Contohnya, pelajar mengemukakan soalan bagi memahami tentang penyakit kanser.  Apabila semua soalan yang dikemukakan terjawab maka mereka mendapat pengetahuan baru tentang penyakit kanser. Di samping itu, teknik ini diterapkan dalam proses P&P kerana dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar. Interaksi dua hala ini secara tidak langsung telah meningkatkan kefahaman para pelajar. Menerusi teknik ini, pelajar diarahkan membaca bahan bacaan secara senyap. Setelah selesai membaca bahan bacaan, pelajar akan mengemukakan soalan kepada guru tentang isi kandungan yang tidak difahami. Setelah itu, guru akan memberi penerangan mengenai bahan bacaan mereka. Kemudian, guru pula akan bertanya soalan kepada pelajar.

2.2.3    Kelebihan Dan Kelemahan Prosedur Request

Teknik Prosedur Request mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Antara kelebihan teknik ini ialah mewujudkan sikap bertanya dalam diri pelajar. Di bawah teknik ini para pelajar diberikan masa untuk menyoal guru bagi lebih memahami bacaan mereka. Mengikut enam langkah dalam menggunakan teknik ini, terdapatnya perkembangan terhadap penyoalan para pelajar. Para pelajar dibenarkan untuk bertanya dengan guru setelah selesai meNghabiskan bacaan bagi mendapatkan kefahaman yang lebih berkesan.
            Selain itu, kelebihan teknik ini ialah dapat meningkatkan kefahaman pelajar melalui soalan-soalan yang dikemukakan. Dalam sesi P&P, akan wujud pembelajaran dua hala yakni guru boleh bertanya kepada para pelajar dan sebaliknya. Pembelajaran dua hala ini membenarkan pelajar bertanya kepada guru tentang bahan bacaan. Begitu juga dengan guru boleh menyoal para pelajar tentang bahan bacaan mereka. Barr et al. (2002) menyatakan soalan daripada guru membantu pelajar memahami teks. Hal ini bermakna sekiranya pelajar tidak dapat menjawab soalan guru, maka guru memberi penerangan sehinggalah para pelajar dapat menjawab soalan guru.
            Seterusnya, kelebihan teknik ini juga ialah menggalakkan para pelajar berfikir. Menerusi aktiviti penyoalan, ia dapat melatih para pelajar berfikir bagi menjawab soalan yang dikemukakan. Contohnya, suatu pertandingan menguji pengetahuan am diberikan kepada para pelajar dan mereka perlu menjawab soalan tersebut berdasarkan masa yang diberikan. Bagi menjawab soalan secepat mungkin maka para pelajar akan berfikir dengan cepat supaya dapat menjawab soalan tersebut dengan cepat dan betul.
Namun begitu, terdapat juga kelemahan teknik Prosedur Request iaitu menjatuhkan keyakinan diri pelajar sekiranya mereka tidak berupaya menjawab soalan yang diberikan. Di dalam kaedah pembelajaran dua hala, terdapat soalan yang dikemukakan oleh guru secara perseorangan kepada para pelajar. Soalan yang tidak dapat dijawab oleh pelajar menyebabkan semua pelajar mengejeknya dan situasi ini boleh menjejaskan keyakinan diri pelajar tersebut. Kelemahan teknik ini yang kedua ialah pelajar pasif akan terabai. Aktiviti soal jawab ini kebiasaannya lebih didominasi oleh pelajar yang aktif di dalam kelas. Pelajar yang aktif lebih gemar menjawab soalan guru berikutan terdapatnya ganjaran yang diberikan oleh guru. Situasi ini akan menyebabkan pelajar pasif terabai. Sekiranya, tiada giliran dalam menjawab soalan maka pelajar aktif akan terus berusaha untuk menjawab soalan guru berbanding pelajar pasif yang sentiasa diam dan ini dikhuatiri menjejaskan prestasi pelajar tersebut.
.
 

3.0       AKTIVITI TEKNIK PROSEDUR REQUEST
Subjek: Geografi.
Tajuk: Faktor – faktor penerokaan sumber hutan.
Langkah-langkah
1. Guru meminta pelajar membentuk 4 kumpulan.
2. Guru menyatakan setiap kumpulan mempunyai 5 orang pelajar.
3. Kemudian, guru mengedarkan artikel yang berlainan kepada setiap kumpulan.
4. Guru akan meminta pelajar membaca artikel secara senyap selama 10 minit.
5. Setelah masa tamat, guru meminta setiap kumpulan mengemukakan beberapa soalan berdasarkan artikel tersebut.
6. Setelah itu, guru pula akan menjawab soalan tersebut di samping memberikan penjelasan mengenai faktor penerokaan sumber hutan.
7. Kemudian, guru pula yang akan mengemukakan soalan berbentuk KBKK kepada pelajar mengenai faktor penerokaan sumber hutan untuk menguji kefahaman pelajar.
8. Setelah sesi soal jawab selesai, guru akan merumuskan topik pembelajaran hari ini.
9. Guru memilih pelajar secara rawak untuk menyatakan semula faktor penerokaan sumber hutan.



4.0     PENUTUP
Kesimpulannya, setiap individu berkemungkinan boleh membaca dalam apa jua bentuk bahan bacaan namun persoalan sering yang timbul ialah kefahaman pembaca mengenai bahan yang dibaca dan juga keupayaan pembaca dalam mengolah ataupun menceritakan semula kandungan tersurat dan tersirat yang cuba disampaikan dalam bahan bacaan tersebut. Lazimnya, individu yang tidak berkeupayaan dalam membaca dengan baik akan menyukarkan hasrat mereka untuk melalui proses berfikir secara kritikal. Sehubungan dengan itu, teknik Preview Teks dan Prosedur Request boleh dijadikan panduan kepada diri pembaca dengan harapan pembaca akan melalui proses pembacaan dengan lebih sempurna dan mendapat faedah hasil daripada pembacaan tersebut.
Penggunaan kedua-dua teknik memberikan kelebihan kepada diri pelajar terutamanya dalam meningkatkan kefahaman tentang bahan bacaan. Misalnya menerusi teknik Preview Teks, pelajar akan lebih bermotivasi untuk membaca sesuatu bahan bacaan berikutan mempunyai pengalaman sedia ada dalam diri. Bagi teknik Prosedur Request pula diterapkan ia dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar menerusi aktiviti penyoalan. Namun, beberapa kelemahan telah dikenal pasti dalam kedua-dua teknik ini ialah pelajar pasif akan terabai kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang bahan bacaan apatah lagi untuk menjawab dan bertanya soalan. Justeru kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.



RUJUKAN
Barr. R, Blachowicz. L, Katz.C, & Kaufman.B (2002). Reading Diagnosis For Teachers: An Instruction Approach. London: Allyn And Bacon.
Rebecca & Rozmiarek (2006). Improving Reading Skills: Across The Content Areas. California: Corwin Press.
Ryder.J.R & Graves.F.M (2003). Reading And Learning In Content Areas. Third Edition. United States: John Wiley & Sons.
Tierney, R.J. & Readance, J.E (2000). Reading Strategies And Practices. Boston: Allyn & Bacon.

Yahya Othman (2003). Mengajar Membaca: Teori Dan Aplikasi. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Yahya Othman (2008). Proses Dan Strategi Membaca Berkesan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Tuesday, 2 April 2013

TUGASAN BERPASANGAN 2



KETRAMPILAN MEMBACA (BMK 3033)

Tajuk:
PENAKSIRAN DAN PENILAIAN MEMBACA: PENAKSIRAN FORMAL


KUMPULAN A


Disediakan Oleh:

Nama
No. Matrik
SITI AZLINA BT ISMAIL
D20091035614
SITI MUNIRA BT MOHD NASIR
D20091035629

Nama Pensyarah:
DR. DAHLIA BT JANAN


Tarikh Hantar:
8 MEI 2013


1.0       Konsep
1.1              Penaksiran
Menurut Salvia & Yseldyke (1978) pentaksiran atau penaksiran adalah berasal daripada perkataan Latin “duduk bersama” dengan pelajar. Martel & Calderon (2005) menyatakan pada asasnya pentaksiran merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pembelajaran. menurut Morgan & Watson (2002) melalui pentaksiran pengajaran dan pembelajaran, para guru, pelajar dan ibu bapa, pentadbir dan perancangan pendidikan mempunyai asas yang kukuh bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan keberkesanan pembelajaran pelajar. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000) pentaksiran dalam bidang pendidikan ialah suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi tujuan tertentu.

1.2       Penaksiran Formal
Menurut Hanna Gerald S & Dettmer Peggy A (2004) penaksiran secara formal ialah penilaian yang dilaksanakan secara formal atau rasmi yang melibatkan suatu prosedur atau tatacara yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi semua calon. Penaksiran ini juga dirancang atau dibina berasaskan peraturan atau tatacara yang telah ditetapkan. Setiap kurikulum yang menjadi dasar dalam kursus akan diteliti untuk menentukan jenis, bentuk dan bagaimana penilaian akan dilaksanakan. Penaksiran formal terbahagi kepada dua, iaitu:

1.2.1 Formatif
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) penilaian formatif ialah penilaian yang dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran contohnya ujian bulanan dan peperiksaan penggal.

1.2.2 Sumatif
Penilaian sumatif merupakan penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus. Tujuannya adalah untuk memberikan gred-gred tertentu serta sijil-sijil (Abdullah Sani Yahya, 2005).



2.0        Tujuan Penaksiran Formal
2.1       Mengesan hasil pembelajaran yang telah dicapai
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) pentaksiran formal ini penting untuk guru mengetahui kelemahan dan kekuatan yang terdapat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Keadaan ini dapat membantu guru untuk membuat perancangan dan penambahanbaikkan mutu serta pendekatan sewaktu proses p&p di dalam bilik darjah. Kepelbagaian aras kognitif pelajar yang wujud di dalam bilik darjah akan mempengaruhi pencapaian yang berbeza dalam kalangan pelajar.

2.2       Mengesan kemajuan yang telah diperoleh berkenaan pencapaian hasil-hasil    dalam pembelajaran
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) melalui proses penilaian data-data yang diperoleh dapat menggambarkan nilai dan prestasi semasa pelajar. Keadaan ini akan memudahkan para guru dan ibu bapa mengetahui tahap keupayaan pelajar dalam bidang akademik secara jelas. Prestasi yang baik akan memberi motivasi kepada pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam mata pelajaran yang dipelajari seperti dalam peperiksaan SPM.

2.3       Mengesan kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh murid
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) ujian juga berperanan untuk mengesan punca-punca kelemahan pelajar. Selepas menilai keputusan ujian pelajar, barulah guru dapat menggunakan maklumat itu untuk membuat perancangan aktiviti dan bahan-bahan pengajaran pemulihan. Kemudian, guru akan merancang isi pelajaran serta menggunakan pendekatan atau kaedah  yang sejajar dengan pengetahuan sedia ada pada pelajar.

2.4       Untuk membuat ramalan
 Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) sesetengah ujian dijalankan bertujuan untuk membuat ramalan tentang prestasi seseorang calon itu mencapai kejayaan dalam sesuatu kursus. Ujian seperti ini biasanya dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa semasa memilih calon-calon bagi sesuatu kursus latihan atau menyertai sesuatu kursus, latihan atau untuk menyertai sesuatu pertandingan. Prestasi para pelajar dalam sesuatu ujian boleh digunakan untuk membahagikan mereka mengikutkan kriteria kebolehan mereka.



2.5       Pemilihan
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) hasil-hasil ujian sentiasa digunakan oleh pihak pentadbir untuk memilih calon-calon bagi memasuki sesuatu kursus atau jurusan. Sebagai contoh, pelajar yang ingin memasuki Maktab Rendah Sains Mara atau sekolah berasrama penuh perlu menduduki ujian tertentu. Selain itu, keputusan peperiksaan PMR akan digunakan memilih pelajar untuk jurusan sastera atau sains, SPM untuk memilih pelajar bagi kemasukan ke Maktab dan Politeknik manakala STPM pula untuk pemilihan ke universiti.

2.6       Pensijilan
Menurut Abdullah Sani Yahya (2005) pelajar di peringkat PMR, SPM dan STPM akan menerima sijil-sijil yang berkenaan setelah lulus peperiksaan tersebut. Gred pada sijil tersebut bergantung pada pencapaian pelajar dalam peperiksaan tersebut. Selain di sekolah, ujian juga dijalankan di maktab, politeknik dan universiti yang mana pelajar-pelajar akan dianugerahkan sijil diploma atau ijazah setelah lulus ujian tertentu.

3.0 Kelebihan dan kekurangan penaksiran formal

3.1 Ujian Formatif 

Kelebihan
Kekurangan
Boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal dalam sesuatu masa yang tidak khusus atau khusus
Perlaksanaan ujian formatif adalah tidak selaras dalam sesebuah kelas, sekolah, daerah dan negara (Atkin, JM, et al., 2001).
Tidak mendatangkan tekanan yang berat kepada pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru (Stiggins, R., et al., 2006).
Menyukarkan guru untuk membuat penilaian dan refleksi penilaian terhadap individu pelajar sekiranya jumlah pelajar adalah terlalu ramai bagi sesebuah kelas
Melahirkan pelajar yang benar-benar memahami isi pelajaran yang dipelajari dan menguasainya dengan baik (Stiggins, R., et al., 2006).
Tidak berjaya mewujudkan semangat persaingan antara pelajar untuk berusaha mendapatkan keputusan yang terbaik kerana pencapaian pencapaian hanya bertujuan menguji kefahaman mereka dan tidak berlaku perbandingan dengan kelompok atau individu pelajar lain.
Sasaran boleh tertumpu kepada kumpulan, individu atau secara kelas.
Menyukarkan tindakan guru untuk membetulkan kelemahan  pelajar serta merta semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana dikhuatiri mengambil masa yang lama jika gagal diurus dengan baik
Membantu guru mengesan pelajar yang lemah secara khusus dan terperinci berserta topik dan sub-topik yang gagal dikuasai dengan baik (Atkin, JM, et al., 2001).
Kelemahan  pelajar adalah pelbagai dan tidak sama antara satu sama lain. Guru sukar memberi perhatian kepada sesuatu kelemahan dengan tidak mengabaikan mereka yang lain.
Pelajar-pelajar dapat membuat refleksi kendiri dan memperbaiki kelemahan dalam sesuatu unit atau kemahiran yang telah dipelajari sebelum meneruskan pembelajaran kepada unit yang seterusnya dalam keadaan bersedia
Perlaksanaan ujian adalah tidak selaras antara suatu kelas dengan kelas yang lain atau sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain lantas kemampuan  pelajar tidak diuji secara sama rata terhadap sesebuah unit pelajaran atau kemahiran.

























3.2 Ujian Sumatif

Kelebihan
Kekurangan
Membantu para guru dan pentadbir kurikulum terhadap keberkesanan perlaksanaan sesuatu kurikulum seperti KBSR dan KBSM kepada pelajar-pelajar di seluruh negara (Stiggins, R., et al., 2006).
Memberi tekanan kepada pelajar ibu bapa dan guru untuk memastikan pelajar-pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan untuk meningkatkan gred pencapaian sekolah.
Tindakan pensijilan pelajar- pelajar yang dilaksanakan selepas peperiksaan memberi motivasi dan semangat untuk pelajar-pelajar yang mendapat gred yang baik untuk meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi (Atkin, JM, et al., 2001).
Melahirkan pelajar-pelajar yang berorientasikan peperiksaan dengan menghafaz isi pelajaran tertentu dan bukan memahaminya secara mutlak.
Memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk belajar dan mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan (Stiggins, R., et al., 2006).
Menimbulkan rasa rendah diri dalam kalangan pelajar yang mendapat gred pencapaian yang rendah kerana keputusannya kelak akan dibandingkan dengan pencapaian pelajar- pelajar lain.

Mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar dan sekolah untuk meningkatkan pencapaian individu pelajar dan sekolah masing-masing melalui keputusan yang cemerlang (Stiggins, R., et al., 2006).
Gred pencapaian yang diperoleh kadangkala berasaskan nasib dan tuah, bukannya usaha pelajar tersebut. Pelajar yang cemerlang tetapi kebetulan menghadapi masalah lain seperti kesihatan pada ketika menduduki peperiksaan tidak dapat menunjukkan prestasi yang terbaik dan tidak dapat menduduki peperiksaan seperti asal.
Pembahagian pelajar kepada kelas dan kumpulan mengikut gred pencapaian ujian atau peperiksaan memudahkan guru mengenal pasti pelajar yang lemah dan pelajar yang bijak sekali gus melakukan kepelbagaian dalam kaedah mengajar secara khusus sesuai dengan tahap pelajar.
Penyediaan soalan yang meliputi kesemua topik pembelajaran yang telah diajar sukar untuk diseimbangkan dengan baik kerana topik yang banyak dan jumlah soalan yang terhad. (Atkin, JM, et al., 2001).

 4.0       Sistem Penilaian di Malaysia
Sistem penilaian yang dijalankan di Malaysia terbahagi kepada 2 peringkat, iaitu:
a.       Penilaian kemajuan berasaskan sekolah (PKBS)
b.      Penilaian berpusat

4.1       Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS)
PKBS merupakan sistem penilaian yang dijalankan pada peringkat sekolah yang bersifat berterusan (Abdullah Sani Yahya, 2005). PKBS ialah juga satu proses untuk memonitor pertubuhan, kebolehan, kemajuan, dan pencapaian murid secara keseluruhan berdasarkan objektif kokurikulum baru yang bersepadu dan juga falsafah pendidikan negara sama ada berbentuk formal ataupun tidak formal. Terdapat 2 pelaksanaan PKBS dalam kalangan guru di sekolah, iaitu:
i)                    PKBS dilaksanakan oleh guru-guru tanpa kawalan oleh pihak Kementerian Pendidikan.
ii)                  PKBS yang dilaksanakan berdasarkan arahan-arahan standard daripada Kementerian Pendidikan contohnya PEKA, sains, kerja kursus kemahiran hidup dan sejarah. KPM mengedarkan peraturan melaksana dan pentaksiran termasuk skema pemarkahan.

Alat penilaian dibina dan dikawal oleh guru, ditadbir dan diselaraskan dengan proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Kaedah yang disarankan oleh PKBS ialah:

4.1.1    Ujian Pencapaian
ujian ini bagi menguji aspek pengetahuan dan kefahaman bagi mata pelajaran bahasa, matematik dan sains.

4.1.2    Ujian Prestasi
ujian ini dilakukan untuk menilai kebolehan murid dalam aspek lisan, bacaan, kegiatan amali, Pendidikan jasmani, muzik, kokurikulum dan kemahiran manipulatif.

4.1.3    Ujian Situasi
ujian ini pula dijalankan bagi mengenal pasti sikap dan nilai bagi agama Islam dan pendidikan moral melalui situasi tertentu.

4.1.4        Pemerhatian
pemerhatian dijalankan bagi mengenal pasti dan mencatat perkembangan murid mengenai ciri-ciri afektif seperti dalam agama Islam, pendidikan moral dan kokurikulum.

4.1.5        Pentaksiran
Pentaksiran ialah hasil kerja yang dijalankan bagi menentukan mutu, hasil kerja yang dicapai dalam pendidikan seni dan kemahiran manipulatif.

4.1.6        Penilaian Berpusat
Penilaian Berpusat dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu satu peringkat dinilai di peringkat sekolah rendah dan satu peringkat lagi dinilai di sekolah menengah. Ia terdiri daripada UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), PMR (Penilaian Menengah Rendah), SPM/STPM (Penilaian Menengah Atas).

4.2              Jenis-Jenis Peperiksaan
4.2.1    Peperiksaan Penggal
Peperiksaan penggal merangkumi penilaian berbentuk formatif dan sumatif. Kebanyakannya diadakan dalam bentuk formal pada penghujung penggal. Ia diuruskan oleh AJK Peperiksaan sekolah dan semua soalan akan dibuat mengikut Jadual Penentuan Ujian (JPU), diselia dan diselaraskan bagi setiap kelas adalah mengikut Panitia masing-masing. Menerusi peperiksaan ini prestasi dan pencapaian pelajar dapat ditentukan dalam setiap mata pelajaran yang diambil dan pihak sekolah boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan. Kemudian pihak sekolah boleh merancang strategi dan tindakan susulan yang sesuai bagi mengatasi sebarang kelemahan yang wujud (Tierney Robert J. & Readence John E., 2000)

4.2.2    Peperiksaan Percubaan
Peperiksaan percubaan berbentuk formatif dan meliputi semua topik yang telah dipelajari. Melalui peperiksaan ini ramalan dan jangkaan mengenai prestasi dan pencapaian setiap pelajar bagi setiap mata pelajaran dapat dilihat. Justeru itu, keputusan yang dicapai oleh pihak sekolah boleh merencanakan sebarang pengubahsuaian sebelum peperiksaan sebenar bermula. Peperiksaan ini adalah latihan yang menghampiri situasi peperiksaan sebenar (Tierney Robert J. & Readence John E., 2000).

4.2.3    Peperiksaan Akhir
Peperiksaan akhir merupakan penilaian yang dijalankan pada akhir tahun, bertujuan untuk menentukan dan memberi gred. Penilaian ini berbentuk sumatif yang mana skop yang diuji lebih luas, mencakupi semua aspek yang hendak diuji berdasarkan apa-apa yang telah dipelajari. Peperiksaan ini menentukan standard dan menjadi kayu ukur kejayaan sekolah dan pelajar selain membekalkan data-data yang berguna untuk menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (Tierney Robert J. & Readence John E., 2000).


5.0       Aktiviti Penaksiran Formal

Tajuk:
Folio Geografi Tingkatan 2: Komposisi Penduduk di Taman Tasik Kesuma, Beranang Selangor.
a.       Tempoh masa: 4o minit
b.      2 Cemerlang (38 Orang)
Aktiviti:
Langkah1
Guru menyediakan rubrik yang diperlukan untuk folio.
a.       Peta lokasi
b.      Surat kebenaran ibu bapa
c.       Surat pengenalan diri pelajar
d.      Surat kebenaran untuk melawat /menemuramah dan mendapat bahan sumber.
e.       Skema pemarkahan
f.       Isi kandungan folio
g.      Tarikh penyerahan folio

Langkah 2
Guru memanggil beberapa orang pelajar sebagai wakil untuk membahagikan bahan-bahan yang telah guru sediakan. 

Langkah 3
Guru menjelaskan setiap item yang perlu ada dalam kerja kursus  tersebut.
a.       Penghargaan
b.      Pendahuluan
c.       Objektif kajian
d.      Kawasan kajian
e.       Kaedah kajian
f.       Komposisi penduduk
g.      Jenis pekerjaan penduduk mengikut kaum
h.      Faktor perkaitan penduduk dengan pekerjaan
i.        Cadangan meningkatkan pendapatan penduduk
j.        Rumusan
k.      Rujukan
l.        Lampiran

Langkah 4
Guru memberikan masa untuk pelajar bertanya sekiranya mempunyai kemusykilan tentang kerja kursus yang diberikan.

Langkah 5
Guru menunjukkan beberapa contoh folio terbaik daripada pelajar tingkatan dua tahun lepas untuk dijadikan sebagai rujukan.

Langkah 6
Guru juga meminta pelajar merujuk buku teks pada halaman 155 sehingga 158 untuk melihat cara-cara penyediaan kerja kursus dilaksanakan.

Langkah 7
Pada masa yang sama, guru meminta pelajar melakarkan peta daerah Hulu Langat dan peta Taman Bandar Tasik Kesuma dengan menggunakan kertas surih.

Langkah 8
Guru meminta pelajar menyiapkan kerja kursus ini mengikut masa yang telah ditetapkan
Penutup
Guru memanggil seorang pelajar sebagai wakil untuk menyimpulkan tentang aktiviti yang dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari itu.

6.0       Kesimpulan
Penaksiran formal merupakan salah satu kaedah dalam pengukuran penilaian pelajar dan dijalankan dengan cara yang sistematik. Penaksiran ini melibatkan dua jenis penaksiran iaitu, penaksiran formatif dan penaksiran sumatif dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.


Rujukan

Abdullah Sani Yahya (2005). Mengurus sekolah. Pahang: PTS Profesional.

Atkin, JM, Hitam, P., & Coffey, J. (2001) penilaian. Kelas dan piawaian sains       negara. Washington, DC: National Academies Press.

Chappuis, S. (2005). Adakah penilaian formatif kehilangan maknanya? Minggu Pendidikan,          24(44), 38.

Dettmer Peggy A. & Hanna, Gerald S. (2004). Assessment for effective teaching: using    context-adaptive planning / Gerald S. Hanna,. Boston: Pearson A and B.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000). Kementerian Pelajaran Malaysia.

Martell, K, & Calderon, T. (2005). Assessment of students learning in bisness schools: What         it is, where we are, and where we need to go next. Vol 1. No. 1 pp 1-22. Tallahasee,     Florida: Association for Institutional research.

Morgan, C. & Watson, A. (2002). The interpretative nature of teachers’ assessment of       students’ Mathematics: Issues for equity.  Journal for research in Mathematics          Educations, 33(2), 78-110.

Salvia J. & Yseldyke, J. (1978). Assessment  in Special and remedial education. Boston:    Houghton Mifflin.

Stiggins, R., Arter, J., Chappuis, J., & Chappuis, S. (2006). Penilaian Kelas bagi pelajar    pembelajaran: Melakukan dengan betul-menggunakan dengan baik. Portland, atau:      Perkhidmatan Ujian Pendidikan.

Tabatha Rayment (2011). 101 Senarai penting tentang pentaksiran. Kuala Lumpur: Institut           Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Tierney Robert J. & Readence John E. (2000). Reading strategies & practices (fifth edition).           Amerika: Library of congres cataloguing-in-publications data.