beware

Saturday, 13 April 2013

TUGASAN BERPASANGAN 1


Books 


BMK 3033
KETERAMPILAN MEMBACA

TUGASAN BERPASANGAN
Tajuk: Teknik Mengajar Kefahaman Membaca dan Berfikir Secara Kritikal:
Preview Teks
Prosedur ReQuest


Nama Pensyarah: Dr Dahlia Janan
Kumpulan: A

Nama
No matrik
NurulHana Binti Denis Eson
D20091035640
Nur Athirah Binti Mohd Zain
D20091035661


PENGENALAN
‘Membaca jambatan ilmu’ merupakan istilah yang sangat sinonim dengan kepentingan membaca kerana aktiviti membaca sememangnya memberi banyak manfaat kepada pengetahuan individu. Aktiviti membaca bukan sahaja sebagai proses penting dalam menyumbang kepada pengetahuan sedia ada malahan boleh bertindak sebagai panduan kepada individu dalam merencanakan sesuatu perkara dengan lebih sempurna. Kebiasaannya, amalan membaca ini telah dipupuk semenjak memasuki tahun awal persekolahan kanak-kanak lagi. Dalam konteks sekolah, proses membaca itu merupakan agen penting agar kanak-kanak ini akan mula mengenal huruf, membentuk perkataan sehinggalah kepada proses membentuk ayat. Aktiviti membaca ini diibaratkan tiada titik noktah kerana jika dilihat kepada manfaat membaca ini sendiri, aktiviti membaca ini bukan lagi bersifat kemahuan tetapi telahpun bersifat keperluan. Oleh sebab itu, pepatah ada menyebut ilmu itu pelita hidup.
 Pembacaan seseorang boleh wujud dalam pelbagai cara dan saliran misalnya membaca buku ketika menunggu bas, menelaah seketika majalah-majalah yang ada semasa berada di kedai buku ataupun membaca surat khabar dengan secangkir kopi dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, bahan bacaan khasnya berbentuk akademik masih kurang diberikan perhatian dalam golongan masyarakat Malaysia (Yahya, 2008). Tambahan pula, membaca ini seolah-olah hanya diperlukan oleh ahli akademik semata-mata sedangkan membaca adalah suatu proses yang berterusan yang tidak mengira pangkal usia. Sebaliknya, ada juga sesetengah individu yang suka membaca tetapi tidak mampu menguasai semaksima mungkin kandungan buku tersebut dan lebih merumitkan keadaan apabila wujud juga golongan pembaca yang tidak faham sama sekali hasil daripada pembacaan beliau.  Justeru itu, permasalahan yang wujud ini memerlukan teknik-teknik yang dapat membantu para pembaca ke arah proses membaca yang lebih baik selain dapat meningkatkan kefahaman menerusi pembacaan tersebut.
  

1.0              Teknik Mengajar Kefahaman Membaca Dan Berfikir Secara Kritikal.
Terdapat pelbagai teknik yang dikenal pasti dapat membantu meningkatkan kefahaman membaca misalnya menerusi teknik Preview Teks dan Prosedur Request. Kedua-dua teknik ini boleh diaplikasikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung. Tambahan pula, teknik yang diguna-pakai ini mempunyai kelebihannya tersendiri yang memberi manfaat kepada diri pembaca selain dapat membantu pembaca berfikir secara kritikal.

2.1.      Preview Teks
            2.1.1    Maksud
Teknik preview teks dirangka khas untuk membantu para pelajar membina pengetahuan latar berkenaan sesuatu topik sebelum memulakan proses membaca. Semasa proses membaca itu berlaku, pembaca akan berupaya menghubungkan perkara yang terdapat dalam pengalaman latarnya dengan bahan yang akan dibaca olehnya (Tierney, 2000). Justeru itu, semakin banyak pengalaman latar yang dimiliki oleh diri pembaca maka semakin luas makna yang akan diperolehi daripada bahan yang dibaca.
Selain itu, Preview Teks membantu pelajar dalam mempelajari bahan yang lebih baik kerana pelajar akan menetapkan tujuan untuk membaca selain turut memberi tumpuan kepada maklumat dan paling penting adalah apabila mereka akan menghubungkan maklumat dalam teks dengan perkara yang telah sedia diketahui (Graves, 2003). Yahya (2008) turut menyatakan hal yang sama iaitu pembaca yang mengetahui maklumat yang ada kaitan dengan teks yang dibaca akan menjadikan pembacaan lebih lancar dan memberi kesan terhadap pemahamannya. Lantaran itu, interaksi baik antara pembaca dan penulis dapat meningkatkan kefahaman pembaca selain dapat menambah pengalaman membaca.

2.1.2    Mengapa Ia Dilaksanakan Dalam Sesuatu P&P Bacaan?
Di negara barat khususnya, penggunaan teknik ini akan didedahkan kepada pelajar semasa P&P berlangsung. Penggunaan teknik ini adalah sama seperti panduan jangkaan yang bermaksud pemahaman pembaca dapat ditingkatkan apabila pembaca mengaitkan pengetahuan latar dengan bahan bacaan dan seterusnya mereka ini  akan  berminat dengan topik yang dibaca. Hal ini telah dinyatakan oleh Yahya (2003) bahawa bahan cerita daripada pengalaman individu boleh digunakan dalam mengajar kemahiran pemahaman.
Hal ini bermakna, apabila P&P yang berlangsung dengan mengaitkan pengalaman dalam diri pembaca, maka pembaca akan lebih mudah memahami topik yang dibaca. Lantaran itu, teknik ini merupakan pendekatan baik yang berkeupayaan memberikan maklumat kepada pembaca supaya mereka akan membuat pemilihan bacaan dan pada masa yang sama mereka mempunyai rangka kerja untuk memahami watak-watak dan peristiwa dengan lebih jelas. Sebagai hasilnya, teknik ini dapat memupuk minat pelajar untuk membaca seterusnya menggalakkan kelancaran proses P&P. Justeru itu, hasil penyelidikan telah membuktikan keberkesanan penggunaan teknik ini terutamanya kepada golongan pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan.



 



3)
2.1.3    Kelebihan Teknik Preview Teks
Penggunaan teknik Preview Teks mendatangkan beberapa kelebihan kepada diri pelajar. Menerusi penggunaan teknik tersebut, pelajar akan lebih bermotivasi untuk membaca sesuatu bahan bacaan (Ryder, 2003). Pengetahuan dan pengalaman sedia ada dalam diri pelajar ini telah membantu pelajar untuk melalui proses membaca dengan mudah. Pada masa yang sama, pelajar juga berkeupayaan memahami keseluruhan teks seterusnya mempunyai cara pemikiran dan pendapat sendiri dalam memahami isi kandungan teks yang cuba disampaikan oleh pengarang. Tambahan pula, dengan bimbingan daripada guru maka para pelajar dapat melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan.
            Selain itu, pelajar juga memupuk minat membaca dalam diri mereka. Graves (2003) berpendapat teknik ini bukan sahaja membantu para pelajar memahami teks semata-mata malahan dapat memperbaiki sikap mereka tentang bacaan teks. Penggunaan teknik yang memudahkan pelajar ini akan memberikan peluang kepada pelajar untuk membaca sesuatu teks dengan lebih mendalam yang seterusnya membantu meningkatkan pengetahuan mereka tentang bahan bacaan berkenaan. Akhirnya, mereka akan lebih berkomitmen tinggi dan menjadikan bahan bacaan tadi sebagai bahan yang bernilai atau memanfaatkan dirinya pada masa akan datang.

2.1.4    Kelemahan
Walau bagaimanapun, penggunaan teknik ini mempunyai beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti. Pertamanya, keupayaan pelajar adalah berbeza-beza maka secara tidak langsung diri pelajar turut mempunyai tahap pembacaan yang berbeza-beza. Teknik ini digunakan bagi peringkat tinggi kerana golongan ini lebih matang dan cekap dalam melalui proses pembacaan dan mereka lebih mudah memahami kandungan teks. Sebaliknya, bagi segelintir kanak-kanak misalnya, mereka masih meniti pengalaman daripada persekitaran mereka dan melalui proses pembelajaran.
            Selain itu, setiap individu mempunyai kesediaan membaca yang berlainan dan ini bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan sedia ada dalam diri individu. Teknik ini memerlukan pembaca mempunyai latar pengetahuan terlebih dahulu kerana ia akan dikaitkan bahan bacaan yang bakal dibaca. Oleh sebab itu, perkara tersebut akan mendatangkan masalah kepada pelajar yang tidak mempunyai pengetahuan latar atau pengalaman sedia ada kerana golongan ini dijangkakan tidak memahami keseluruhan teks yang dibaca. Justeru kelemahan ini dikhuatiri menjadikan perlaksanaannya dalam sesi P&P menjadi rumit.

2.2       Teknik Prosedur Request

2.2.1    Maksud
Teknik mengajar kefahaman membaca dan berfikir secara kritikal turut melibatkan Prosedur Request. Tierney (2000) menjelaskan Prosedur Request ialah persoalan yang dibina bagi meningkatkan kefahaman membaca dan membantu pembaca berfikir secara kritis. Beliau turut menyatakan pembaca boleh mengeluarkan persoalan tentang bahan yang dibaca supaya lebih memahami sesuatu kandungan bahan bacaan dengan berdasarkan  teknik 5W1H. Dalam proses P&P, teknik ini diterapkan melalui sesi soal jawab yang dikemukakan oleh pelajar kepada guru serta guru mengemukakan soalan kepada pelajar (Barr et al, 2002). Soalan yang berunsurkan KBKK boleh diterapkan oleh guru dalam P&P untuk meningkatkan kefahaman dan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis.

2.2.2    Mengapakah Diterapkan Dalam P&P

Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai diterapkan dalam sistem P&P di sekolah. Salah satu sebab yang membolehkan teknik ini diterapkan dalam proses P&P ialah menggalakkan pelajar merumuskan soalan-soalan. Keadaan ini berlaku kerana teknik ini membenarkan pelajar membaca bahan yang disediakan oleh guru. Kemudian mereka diberikan masa untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami oleh para pelajar. Melalui soalan yang dikemukakan oleh guru ini dapat melihat potensi pelajar dalam membina soalan untuk ditanya kepada guru mengenai artikel yang diperolehi.
            Selain itu, teknik ini perlu diterapkan dalam proses P&P kerana pelajar akan mendapat faedah daripada hasil bacaan. Rebecca (2006) menyatakan persoalan dapat membantu pembaca menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada tentang suatu topik. Contohnya, pelajar mengemukakan soalan bagi memahami tentang penyakit kanser.  Apabila semua soalan yang dikemukakan terjawab maka mereka mendapat pengetahuan baru tentang penyakit kanser. Di samping itu, teknik ini diterapkan dalam proses P&P kerana dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar. Interaksi dua hala ini secara tidak langsung telah meningkatkan kefahaman para pelajar. Menerusi teknik ini, pelajar diarahkan membaca bahan bacaan secara senyap. Setelah selesai membaca bahan bacaan, pelajar akan mengemukakan soalan kepada guru tentang isi kandungan yang tidak difahami. Setelah itu, guru akan memberi penerangan mengenai bahan bacaan mereka. Kemudian, guru pula akan bertanya soalan kepada pelajar.

2.2.3    Kelebihan Dan Kelemahan Prosedur Request

Teknik Prosedur Request mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Antara kelebihan teknik ini ialah mewujudkan sikap bertanya dalam diri pelajar. Di bawah teknik ini para pelajar diberikan masa untuk menyoal guru bagi lebih memahami bacaan mereka. Mengikut enam langkah dalam menggunakan teknik ini, terdapatnya perkembangan terhadap penyoalan para pelajar. Para pelajar dibenarkan untuk bertanya dengan guru setelah selesai meNghabiskan bacaan bagi mendapatkan kefahaman yang lebih berkesan.
            Selain itu, kelebihan teknik ini ialah dapat meningkatkan kefahaman pelajar melalui soalan-soalan yang dikemukakan. Dalam sesi P&P, akan wujud pembelajaran dua hala yakni guru boleh bertanya kepada para pelajar dan sebaliknya. Pembelajaran dua hala ini membenarkan pelajar bertanya kepada guru tentang bahan bacaan. Begitu juga dengan guru boleh menyoal para pelajar tentang bahan bacaan mereka. Barr et al. (2002) menyatakan soalan daripada guru membantu pelajar memahami teks. Hal ini bermakna sekiranya pelajar tidak dapat menjawab soalan guru, maka guru memberi penerangan sehinggalah para pelajar dapat menjawab soalan guru.
            Seterusnya, kelebihan teknik ini juga ialah menggalakkan para pelajar berfikir. Menerusi aktiviti penyoalan, ia dapat melatih para pelajar berfikir bagi menjawab soalan yang dikemukakan. Contohnya, suatu pertandingan menguji pengetahuan am diberikan kepada para pelajar dan mereka perlu menjawab soalan tersebut berdasarkan masa yang diberikan. Bagi menjawab soalan secepat mungkin maka para pelajar akan berfikir dengan cepat supaya dapat menjawab soalan tersebut dengan cepat dan betul.
Namun begitu, terdapat juga kelemahan teknik Prosedur Request iaitu menjatuhkan keyakinan diri pelajar sekiranya mereka tidak berupaya menjawab soalan yang diberikan. Di dalam kaedah pembelajaran dua hala, terdapat soalan yang dikemukakan oleh guru secara perseorangan kepada para pelajar. Soalan yang tidak dapat dijawab oleh pelajar menyebabkan semua pelajar mengejeknya dan situasi ini boleh menjejaskan keyakinan diri pelajar tersebut. Kelemahan teknik ini yang kedua ialah pelajar pasif akan terabai. Aktiviti soal jawab ini kebiasaannya lebih didominasi oleh pelajar yang aktif di dalam kelas. Pelajar yang aktif lebih gemar menjawab soalan guru berikutan terdapatnya ganjaran yang diberikan oleh guru. Situasi ini akan menyebabkan pelajar pasif terabai. Sekiranya, tiada giliran dalam menjawab soalan maka pelajar aktif akan terus berusaha untuk menjawab soalan guru berbanding pelajar pasif yang sentiasa diam dan ini dikhuatiri menjejaskan prestasi pelajar tersebut.
.
 

3.0       AKTIVITI TEKNIK PROSEDUR REQUEST
Subjek: Geografi.
Tajuk: Faktor – faktor penerokaan sumber hutan.
Langkah-langkah
1. Guru meminta pelajar membentuk 4 kumpulan.
2. Guru menyatakan setiap kumpulan mempunyai 5 orang pelajar.
3. Kemudian, guru mengedarkan artikel yang berlainan kepada setiap kumpulan.
4. Guru akan meminta pelajar membaca artikel secara senyap selama 10 minit.
5. Setelah masa tamat, guru meminta setiap kumpulan mengemukakan beberapa soalan berdasarkan artikel tersebut.
6. Setelah itu, guru pula akan menjawab soalan tersebut di samping memberikan penjelasan mengenai faktor penerokaan sumber hutan.
7. Kemudian, guru pula yang akan mengemukakan soalan berbentuk KBKK kepada pelajar mengenai faktor penerokaan sumber hutan untuk menguji kefahaman pelajar.
8. Setelah sesi soal jawab selesai, guru akan merumuskan topik pembelajaran hari ini.
9. Guru memilih pelajar secara rawak untuk menyatakan semula faktor penerokaan sumber hutan.



4.0     PENUTUP
Kesimpulannya, setiap individu berkemungkinan boleh membaca dalam apa jua bentuk bahan bacaan namun persoalan sering yang timbul ialah kefahaman pembaca mengenai bahan yang dibaca dan juga keupayaan pembaca dalam mengolah ataupun menceritakan semula kandungan tersurat dan tersirat yang cuba disampaikan dalam bahan bacaan tersebut. Lazimnya, individu yang tidak berkeupayaan dalam membaca dengan baik akan menyukarkan hasrat mereka untuk melalui proses berfikir secara kritikal. Sehubungan dengan itu, teknik Preview Teks dan Prosedur Request boleh dijadikan panduan kepada diri pembaca dengan harapan pembaca akan melalui proses pembacaan dengan lebih sempurna dan mendapat faedah hasil daripada pembacaan tersebut.
Penggunaan kedua-dua teknik memberikan kelebihan kepada diri pelajar terutamanya dalam meningkatkan kefahaman tentang bahan bacaan. Misalnya menerusi teknik Preview Teks, pelajar akan lebih bermotivasi untuk membaca sesuatu bahan bacaan berikutan mempunyai pengalaman sedia ada dalam diri. Bagi teknik Prosedur Request pula diterapkan ia dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar menerusi aktiviti penyoalan. Namun, beberapa kelemahan telah dikenal pasti dalam kedua-dua teknik ini ialah pelajar pasif akan terabai kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang bahan bacaan apatah lagi untuk menjawab dan bertanya soalan. Justeru kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.



RUJUKAN
Barr. R, Blachowicz. L, Katz.C, & Kaufman.B (2002). Reading Diagnosis For Teachers: An Instruction Approach. London: Allyn And Bacon.
Rebecca & Rozmiarek (2006). Improving Reading Skills: Across The Content Areas. California: Corwin Press.
Ryder.J.R & Graves.F.M (2003). Reading And Learning In Content Areas. Third Edition. United States: John Wiley & Sons.
Tierney, R.J. & Readance, J.E (2000). Reading Strategies And Practices. Boston: Allyn & Bacon.

Yahya Othman (2003). Mengajar Membaca: Teori Dan Aplikasi. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Yahya Othman (2008). Proses Dan Strategi Membaca Berkesan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

No comments:

Post a Comment