Terdapat dua faktor yang menyebabkan masalah dalam membaca. Antara dua faktor utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran (Mahzan Arshad, 2009).
EVERY CHILD IS SPECIAL |
- Faktor dalaman melibatkan faktor fizikal dan faktor neorologikal. Faktor fizikal melibatkan kecacatan yang ringan terhadap deria dan tidak akan mendatangkan kesan negatif terhadap kebolehan membaca, tetapi kecacatan yang berat boleh menyebabkan tidak berkeupayaan membaca. Antara kecacatan fizikal yang amat mempengaruhi keupayaan membaca ialah kecacatan penglihatan, masalah pendengaran dan masalah pertuturan (Yahya Othman, 2003). Kebanyakan masalah tidak berkeupayaan membaca akibat daripada kecacatan penglihatan ini dapat diselesaikan dengan membetulkan aspek penglihatan kerana inilah kebanyakan punca tidak berkeupayaan membaca semula. Mereka yang mempunyai masalah pendengaran pula akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan.
- Seterusnya faktor neurological juga tergolong dalam faktor dalaman yang menyebabkan masalah dalam membaca. Faktor neurological boleh dipecahkan kepada beberapa faktor iaitu faktor keturunan, faktor emosi, faktor kerosakan otak, disleksia. Faktor keturunan dapat diatasi dengan mengubah sikap ibu bapa seperti bagaimana ahli keluarga menyediakan persekitaran membaca yang banyak, minat ibu-bapa terhadap kejayaan anak-anak dalam pelajaran dan model bahasa yang ditunjukkan oleh ibu-bapa kepada anak-anak. Faktor emosi pula berlaku apabila pelajar yang gagal membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas gagal dan sebagainya. Kemudian faktor kerosakan otak boleh diakibatkan oleh kecederaan, penyakit atau bahan toksik yang mencemar otak atau bahagian otak. Seterusnya, disleksia merupakan satu gangguan dalam pembelajaran yang dialami oleh kanak-kanak dan berlanjutan sehingga kanak-kanak itu dewasa. Sesetengah pengidap disleksia mempunyai masalah untuk menyebut perkataan yang panjang dan kesukaran untuk mengikuti turutan perkataan seperti nama bulan dan sifir.
- Faktor luaran juga menyebabkan masalah dalam membaca. Faktor luaran terbahagi kepada dua iaitu tidak mendapat dorongan dan faktor persekitaran. Dorongan untuk membaca ini melibatkan sikap ibu bapa serta guru-guru. Masalah membaca yang berpunca dari dorongan ibu bapa dapat dilihat apabila ibu bapa tidak meluangkan masa atau memberi didikan awal kepada anak-anak supaya mahir membaca. Selain itu, masalah membaca juga berlaku apabila ibu bapa tidak menyokong anak-anak dalam pembacaan iaitu tidak menyediakan bahan bacaan di rumah. Dorongan daripada guru juga boleh menyokong pelajar dengan menggunakan gambar rajah dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengulang pembacaannya (Mahzan Arshad, 2009). Seterusnya, beliau juga mengatakan masalah membaca juga berpunca dari persekitaran yang tidak kondusif. Seperti yang kita ketahui, membaca merupakan satu proses pembentukan dan pemberian makna antara pembaca dengan bahan yang dibaca. Persekitaran ini terbahagi kepada empat iaitu pembentukan bahasa, amalan sekolah, keadaan sekeliling dan keadaan bahan bacaan.
Rujukan:
Mahzan Arshad (2009). Pendidikan literasi Bahasa Melayu: Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Yahya Othman (2003). Mengajar Membaca Teori dan Aplikasi. Bentong, Pahang: PTS Publications &Distributors Sdn.Bhd.
No comments:
Post a Comment