beware

Wednesday, 15 May 2013

BELAJAR MEMBACA


Proses Membaca


Membaca merupakan aktiviti persendirian yang biasanya berlaku dalam minda seseorang pembaca. Menurut Radha Nambiar et al. (2008), membaca merupakan satu proses kognitif yang penting untuk menentukan keberkesanan proses membaca. Proses membaca juga sangat berkait dengan proses penglihatan. Pembaca akan memulakan proses membaca dengan menfokuskan kepada tajuk teks terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran dan pemahaman am dan sekaligus mengkatifkan skema (Radha Nambiar et al. 2008). Proses ini dibantu oleh daya penglihatan yang mana teks akan diproses sedikit demi sedikit bermula dari interpretasi makna setiap perkataan dan berkembang kepada frasa dan seterusnya ayat sehinggalah merentas ayat. Dalam proses membaca, mata bertindak sebagai panca indera yang menangkap kata-kata dalam bahan bacaan. Kata-kata tersebut kemudian dihantar ke otak untuk dikenali sebagai sebuah kosa kata, kelompok kata ataupun pemahaman sebuah ayat.

       Harris dan Sipay (1980) merumuskan bahawa proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang  bercetak atau bertulis. Marohaini Yusoff (1999) pula menyatakan proses membaca bermula dengan melihat dan mengecam perkataan atau lambang-lambang bahasa yang hendak dibaca. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan terdapat perkara-perkara yang perlu diikuti supaya proses membaca berjalan lancar. Antaranya, ialah:


  •  Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
  •  Mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
  • Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
  • Mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap. 
  • Mencuba menghuraikan idea kepada orang lain


Proses Pengecaman
Proses pengecaman melibatkan panca indera, iaitu mata dan telinga. Mata akan merakam maklumat visual teks bacaan sebelum proses selanjutnya, iaitu pengecaman kata yang akan berlaku di dalam otak. Apabila seseorang membaca sesuatu teks, input penglihatan dalam bentuk huruf akan disatukan untuk membentuk perkataan yang bermakna. Kemudian, pemprosesan huruf-huruf berlaku sehingga membentuk perkataan yang bermakna. Pengecaman kata juga boleh berlaku melalui kaedah fonetik yang melibatkan penafsiran bunyi yang dibuat oleh satu huruf tertentu atau gabungan huruf. Rajah dibawah menunjukkan proses pengecaman kata. Setelah perkataan-perkataan dicam dan maknanya diperolehi dalam ingatan jangka panjang, perkataan ini akan dicantumkan untuk membentuk frasa atau ayat yang memberi makna tertentu.

Rajah: Pengecaman kata

Proses Pemahaman
Menurut Zulkiflie Hamid (2006), proses pemahaman adalah proses mental ataupun melibatkan ingatan. Ingatan manusia dapat dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu ingatan deria, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Dalam proses pemahaman, ingatan deria akan merangsang bahasa-bahasa yang terpandang atau terdengar. Rangsangan yang penting sahaja akan diproses dan disimpan dalan ingatan jangka pendek. Kemudian, maklumat yang diproses dalam ingatan jangka pendek akan dihantar dan disimpan dalam ingatan jangka panjang. Maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka panjang berperanan penting dalam proses pemahaman ayat. Keadaan ini menunjukkan bahawa, hanya maklumat yang tersimpan dalam ingatan seseorang sahaja akan mudah difahami apabila terdapat maklumat yang cuba disampaikan melalui sesebuah ayat.

Mendekod
Menurut Mahzan Arshad (2003), mendekod ialah suatu proses menukarkan mesej kepada pelbagai lambang yang dapat difahami oleh penghantar mesej dan penerima mesej sahaja. Langkah pertama untuk membaca adalah untuk mengenalpasti permukaan bercetak dan memecahkan kod perkataan, mengenalpasti bentuk ortografik dan memperolehi maksud perkataan berdasarkan kamus makna yang terdapat dalam pemikiran pembaca.



Sistem Kiu
Sistem kiu ialah penanda-penanda yang membantu pembaca dalam bacaan. Menurut Yahya Othman (1983), dalam teks terdapat sistem kiu yang meliputi sistem grafonik, sintaksis dan semantik. Sistem grafonik merupakan sistem bahasa penulisan yang ada kaitan dengan sistem tulisan dan sistem bunyi. Sistem sintaksis pula berkaitan dengan tatabahasa manakala sistem semantik merujuk pada makna bahasa yang terkandung dalam sistem pragmatik bahasa. Sebelum kanak-kanak boleh membaca ia harus mengenal bahasa yang digunakan melalui sistem bunyi, tatabahasa, kosa kata dan susunan perkataan dalam bahasa itu.

       Apabila kanak-kanak mula membaca berdasarkan kiu-kiu penglihatan (visual cues) beserta pengetahuan dan pengalaman, kanak-kanak akan menelah aliran-aliran perkataan dalam bahasa itu. Menurut Smith (1980), kiu-kiu penglihatan merupakan struktur luar yang mengesan lambang-lambang bertulis dalam teks dan aspek makna merupakan struktur dalaman. Dalam proses membaca,  pembaca akan membaca beberapa perkataan dahulu kemudian cuba menelah perkataan-perkataan yang mengikutinya. Pembaca yang cekap menggunakan aspek makna dalam pembacaannya untuk menelah makna teks yang dibaca. Jelaslah bahawa pembaca akan terlibat secara aktif dari segi mental dalam usaha mencari makna.

Rujukan
Mahzan Arshad (2009). Pendidikan literasi Bahasa Melayu: Satu pendekatan bersepadu. Kuala    Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Marohaini Yusoff (1999). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa 
dan Pustaka.

Radha Nambiar, Noraini Ibrahim & Pramela Krish (2008). Penggunaan strategi pembelajaran Bahasa dalam kalangan pelajar tingkatan dua. Jurnal e-Bangi. Jil 3,Bil 3.

Yahya Othman (2003). Mengajar Membaca: Teori & Aplikasi Pahang: PTS Publications.

Zulkifliey Hamid (2006). Aplikasi psikolinguistik: Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kuala Lumpur: PTS Profesional

No comments:

Post a Comment